Posted by: Abdullah Hassan | August 5, 2011

Pucuk ubi masak lemak kuning dengan bilis

(Asal: semanggol.com 24 April 2011)

Sekadar terasa pelik. Setiap kali saya makan di gerai makan di depan Masjid Saidina Hamzah, di Batu Muda ini, ini sajalah yang saya pilih, berkali-kali.

Inilah adalah antara masakan Almarhum Bonda saya yang menjadi kegemaran saya, iaitu pucuk ubi kayu masak lemak kuning dengan ikan bilis, dan foocook dengan tanghoon dimasak lemak dengan kentang. Dan nasi saya dihidangankan dengan ikan temenung (kembung) kecil goreng seekor. Sedap bukan main.

Posted by: Abdullah Hassan | August 4, 2011

Ertiya Serba Tiada itu Apa?

(Asal: Sabtu, 02 Julai 2011)

Apabila Ayu dan Kyle pulang dari Hargeisa, Somaliland setelah berkhidmat sebagai sukarelawan selama dua tahun. Kami bertiga beranak mengadakan sedikit kenduri kesyukuran, di tempat yang agak luar biasa, di restoran.

Melihat menu, Ayu berkata, “Sayur, sayur kegemaran saya!”

Kami hanya mengorder sayuran. Tidak ada daging, tidak ada ayam, tidak ada ikan, tidak ada udang, tidak ada sotong. Hanya sayur kegemaran Anakanda Ayu.

Sambung Ayu, “Lama benar kami tidak menikmati makanan yang sedap dan banyak seperti ini! Tidak banyak ada makanan di sana.” Ada rasa sedih dan kasihan pada Anakanda Ayu, yang pernah hidup dalam dunia yang hampir tidak ada kekurangan. Mungkin itulah sekolah yang paling bermakna dalam hidupnya.

“Kasihan anak-anak sekolah kami.” Kata Ayu lagi, “Kami juga. Kami juga sering tidak mempunyai cukup makanan. Dan apabila saya ada sekolah sendiri nanti, perkara utama yang saya akan pastikan, mesti ada cukup makanan. Anak sekolah kami sering lapar. Mereka makan nasi dengan tomato, atau dengan mentega cair. Tidak ada lagi yang lain. Ada kalanya kami tidak cukup makanan. Kami makan bubur, banyakkan airnya.”

Dalam hati ayahanda ada kesedihan yang disembunyikan. Namun, dalam hati ada rasa syukur, Anakanda ini sudah belajar erti “tidak ada” yang menjadi kelaziman orang miskin.

Tambah Kyle, “Makanan murah, tetapi kami tidak punya banyak wang. Gaji kami kecil, itupun jikalau dapat kami katakan gaji. Jikalau kita ada USD300 kita dapat memberi mereka makan setahun!!!”

“Ada kalanya kita bukan saja tidak cukup makanan, air pun tidak ada! Ada anak sekolah yang sakit-sakit. Tetapi, kami akan kembali lagi ke Hargeisa melihat mereka.”

Tidak sampai hati saya memberi tahu mereka, ayahanda dan bonda juga pernah semiskin itu, pernah lapar, tetapi air sentiasa banyak daripada paip di tepi jalan. Sedikit lebih baik nasib kita berbanding dengan anak sekolah Ayu dan Kyle.

Semoga Allah memudahkan urusan anakanda berdua. Semoga anakanda hidup terus memberi. Teringat pada kata-kata Pak Harpan dalam Laskar Pelangi, “Hiduplah bagi memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya!”

Bekerja untuk orang cantik, wangi dan kaya, tidak sukar. Bekerja untuk orang miskin, busuk dan serab tiada memang menduga jiwa.

Apabila ditanya, “Ayu ada menyimpan gambar?”

“Ada, ” kata Ayu, “tetapi tidak banyak. Ada dalam komputer. Kami tidak ada kamera!”

Dalam hati saya terfikir, “Anakanda Ayu semakin dewasa!”

Posted by: Abdullah Hassan | August 4, 2011

Apabila Ayahanda Tiba di Kelok 44

Asal: Sabtu, 16 Julai 2011

Apabila kita berwisata ke Danau Maninjau dari Bukit Tinggi, kita perlu menuruni lereng yang sangat curam. Danau Maninjau itu sebenarnya terletak dalam sebuah kawah gunung berapi yang meletup lama dahulu, dan kawah itu dipenuhi air menjadi danau. Ibarat laut luasnya. Lereng curam itu sebenarnya bibir kawah gunung berapi tersebut.

Oleh sebab curam sangat, motokar tidak dapat meluncur lurus, tetapi mesti membelok ke kiri, dan berjalan lurus, dan membelok ke kanan semula dan berjalan lurus, sehinggalah sampai ke kelok akhir; empat puluh empat semuanya.

Semasa pulang ke Bukit Tinggi, motokar kami mendaki pula, masuk ke Kelok 1, belok ke kanan dan meluncur terus, sampai di Kelok 2, dan seterusnya, dan seterusnya sehingga sampai ke Kelok 44. Apabila sampai di Kelok 44, semua penumpang melepaskan nafas panjang, tanda berakhirnya kelok-kelok pendakian yang memeningkan sesetengah orang.

Ibaratnya, kehidupan Ayahanda juga kini jelas sudah sampai di Kelok 44.

Banyak tanda-tandanya. Beberapa bulan lagi usia Ayahanda akan mencapai 70 tahun. Ini tujuh tahun lebih daripada usia Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w. Ayahanda juga sudah dibersarakan. Cuma masih menjalankan tugas-tugas perlu diselesaikan, selepas itu Ayahanda sudah tidak mahu lagi meneruskan profesion lama itu. Tidak pula ada sebarang rasa kesal. Namun, ingin sungguh ayahanda menghabiskan hari-hari yang masih ada, benar-benar mencari keredhaan Allah. Selagi Allah memberi waktu pada Ayahanda.

Pada saat ini Ayahanda sering memikirkan perihal Anakanda semua. Betapa Ayahanda mengharapkan Anakanda semua akan menjadi isteri yang baik, ibu yang baik, dan anak yang solehah. Didiklah anakandamu masing-masing dengan ajaran agama yang lengkap. Ayahanda dan bonda ada kekurangan dalam hal ini, tetapi untuk anakanda semua, kehidupan anakanda jauh lebih berbeza. Kesedaran mencari keredhaan Allah itu berlaku pada usia yang lebih muda.

Hiduplah dengan tidak mengingkari Allah.

Posted by: Abdullah Hassan | August 3, 2011

Bukanlah lama usia kita yang penting

Pada suatu hari kita tetap akan kembali menemui Sang Pencipta, cuma kita tidak mengetahui bila! Apabila ini berlaku, Adinda:

Hitunglah bunga di tamanmu dengan melihat mekar yang berkembang, bukan dengan mengira daun-daun yang berguguran;
Hitunglah hari-hari dalam hidupmu dengan melihat suria yang bercahaya di langit, dan lupakanlah hari-hari yang awannya mendung;
Hitunglah malammu dengan mengira bintang yang bergemerlapan, bukan bayangannya;
Hitunglah hidupmu dengan melihat senyuman yang menguntum, dan bukan dengan melihat titisan air mata yang berguguran, dan
Pada hari yang berbahagia ini;
Hitunglah usiamu dengan melihat sahabat yang ada, dan bukan dengan melihat tahun yang berlalu!

Kerana hidup ini adalah kualiti usaha kita dalam mengabdikan diri pada Allah Sang Pencipta, bukan pada lama waktunya.

(Meminjam teks apresiasi terhadap kelhidupan Storm Thurmond, ahli politik veteran Amerika Syarikat yang banyak berjasa.)

Posted by: Abdullah Hassan | July 31, 2011

Amirah

Ketibaanmu pada 20 Julai 2011 membawa kebahagian besar kepada nenekanda dan Datukanda.

Nenek menyambut ketibaanmu dengan penuh gembira.

Cucunda adalah Amirah yang kedua dalam keluarga. Datukanda berdoa agar Engkau membesar dalam keluarga yang sentiasa bahagia, dan apabila besar nanti jangan pernah derhaka paya ayah dan bondamu.

Amirah

Posted by: Abdullah Hassan | October 27, 2009

Aiman Arif

Aiman Arif lahir pada 18 Julai 2011.

Tiga hari kemudian cucunda agak mantap dan dapat didukung dengan selesa.

Aiman Arif

http://www.ppm-mta.com/,

Pada masa Cucunda dilahirkan, tapak kakimu hanya sebelar dua jari Datukanda.

Tapak kakimu selebar dua jari Datukanda

Begitu ibu ayahanda dan bondamu enjaga Cucunda. Jangan pernah derhaka pada mereka.

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.